Masjid India tetap seperti tahun-tahun sebelumnya. Penuh sesak dengan warga kota yang ingin mendapatkan persiapan raya. Hiruk pikuk suara berbaur menyesakkan dada dan minda. Menambah panas hati yang terjerang di bawah terik matahari khatulistiwa.
Biar kulit rasa menyengat, biar keringat melimpah, kaki dihayun menjejak cerita. Berhujan peluh menunggu Munirah, si jurufoto yang sesat dan keliru tempat.
Mata melingas memerhati sekeliling. Simpati melimpah ruah memandang seorang kanak-kanak 12 tahun memuntahkan isi perut di jejaring besi longkang. Rimas dan sesak barangkali. Kasih sayang ayah hingga ke hujung hayat. Terharu rasa hati melihat lelaki umur 40 an itu menggosok2 perlahan belakang si anak. Mengusap2 kepala dan mengurut perlahan tengkuknya. Fikirnya dapat mengurangkan derita si anak. Fikirnya mampu membalut rengsa si anak.
Munirah tak kunjung tiba. Sesat lagikah dia? Terperangkap dalam kesesakankah? Sedangkan aku semakin rimas dan lemas. Rimas dengan cuaca yang melengas. Lemas dengan senario kesibukan di kiri kanan, depan dan belakang. Dalam pada itu, aku menyungging senyum memandang dua wanita separuh abad kalut menjinjing empat beg plastik sebesar budak dua tahun. Perempuan..perempuan, bila tiba bab mengabiskan duit, kudratnya segagah peserta bina badan hahahaha...
Munirah, Munirah di mana kau? Berkali-kali skrin telefon kerenung, menunggu pesanan ringkas Munirah. Mataku sudah mula berair kerana mengantuk dan lesu. Kepala kian berpusing memerhatikan gelagat orang yang kian jelak ditengok....
Pandanganku tertancap kepada perempuan berwajah ayu, berpakaian santai dengan langkah yang sengaja dipantaskan. Senyumku lebarkan, dia membalas dengan lambaian santainya...Ya, itu dia si Munirah manis sudah datang...manis di wajah namun tangkas langkah dan perilakunya...
Jom Munirah, kita mulakan kerja...untuk menghasilkan sebuah cerita untuk tatapan anda semua
No comments:
Post a Comment