Friday, June 7, 2013

Negara Hujan Batu


Saya akui suka sangat melancong. Setahun kalau tak travel, saya jadi macam kucing hilang anak. Resah gelisah, macam ada yang tak kena. Hidup rasa tak lengkap. Tak kira lah, dalam negara ke luar negara, janji aku keluar sekejap dari kepompong kerja dan hidup udara segar selain merasai pengalaman berada di tempat baru.

Sesiapa yang kenal saya, mesti sedia maklum, destinasi paling saya suka Korea lah..diam tak diam, dah tiga kali jugalah aku ke sana. Sampai ada kengkawan mengusik, "Hai balik kampung ke Ben?" Tapi serious beb, banyak tempat lagi yang belum dijelajah, yang belum saya hirup manis budayanya, yang belum saya kecap nikmat makanan halalnya, yang belum saya jengah jejaka dan perawan dengan wajah mulusnya.

Macau sudah dua kali dan sepanjang dua kali berpeluang, tak pernah saya jemu menghayati keindahan arkitekturnya. Macau, bekas jajahan Portugis ada serinya tersendiri. Ibarat perawan menunggu untuk disunting, Macau menawarkan seribu macam tarikan yang dijamin menjanjikan keseronokan.
Banyak juga la negara2 Asia saya jelajah dan saya ada cita-cita untuk ke Taiwan, Hong Kong lagi...Shanghai Insya Allah selepas Aidilfitri nanti. Backpack dua minggu bersama seorang teman. Semoga percutian ini dirahmati Allah dan menjadi percutian yang terindah.

Bumi Alhambra juga tersenarai sebagai destinasi ingin dikunjungi selain bercita-cita menjejak semula Jerman, Austria, Hungary, Czech Repulic, Bosnia, Serbia yang pernah tersemat sebagai kenangan pengembaraan paling indah dulu.

Jakarta, Bandung, Acheh, Medan memberi kesempatan mencipta persahabatan dan memori indah bersama teman-teman wartawan. Namun, entah mengapa benak ini asyik memikirkan Bali. Bagai memanggil2 untuk kesana. Atau ke Hatyaai dan Trang Thailand, bersantai memandang laut lepas sehijau zamrud sebelum pekena tomyam khum di persisiran pantai? oh, membeli-belah di Hatyaai juga syurga terindah sama seronok dengan bersuka-ria di Universal Studio Singapore...Terkenang pulak hotel di Sentosa yang bersambung ke dermaga dan hutan rekreasi. Lebih syahdu berbanding mengitari Orchard Road yang sentiasa tak kering pengunjung...

Hakikatnya, benarlah kata orang, makin banyak berjalan, makin luas pengalaman, makin kita mengenal manusia dan seperkara lagi, makin kita menghargai negara tercinta ini. Sayangilah tanah tumpah negara kita ini kerana hujan emas di negara orang, hujan batu negara sendiri, apapun berlaku, milik sendiri tetap yang terbaik! Percayalah!