Tuesday, December 8, 2009

Ninja Assassin


ayooo sangat seksi ler..


Setelah sekian lama menunggu, akhirnya dapat juga saya menatap hero pujaan saya di layar lebar. Siapa lagi kalau bukan RAIN lewat filem terbarunya, Ninja Assassin. Hahahaha parah benar saya ni kan? Tapi Rain punya pasal, saya rela berkorban masa dan wang. Hatta, ditakdirkan dia memegang watak beruang kutub dalam animasi pun, saya sanggup luangkan masa menonton.

Rasanya, agak lama juga si Rain ini tidak muncul di mana-mana filem atau drama bersiri. Tup-tup memanjang langkah ke industri perfileman Hollywood, berlakon di bawah penerbit yang turut menghasilkan The Matrix Trilogy. Setelah sekian lama tidak muncul, nampak sangat dia sudah dewasa baik dari segi penampilan, penghayatan watak mahupun raut wajah.

Hilang sudah rambutnya yang separuh ikal itu berganti dengan rambut lurus separas bahu yang saya kira mmmm sangat seksi. Belum lagi dilihat dari susuk tubuhnya. Kalau tak, takkan lah sepupu saya si Aida sebelah menjerit "Wow!" setiap kali melihatnya.

Mengenai Ninja Assassin (NA), saya kira baik plot, dialog mahupun babak pertarungan sama saja dengan genre filem aksi lainnya. Sarat adegan ngeri mendebarkan, meriah aksi pertarungan dan percikan darahnya jarang tidak memualkan. Namun, kelainan NA melalui pergolakan dalaman jiwa seorang yakuza (ninja dilatih sebagai pembunuh upahan) yang menentang keganasan dan pertumpahan darah. Tidak sebagaimana lazimnya, yakuza kurang perasaan, yakuza yang ini nalurinya sarat kasih sayang dan dihantui nostalgia cinta silamnya.

Saya kagum dengan kesan khas badan terputus dua, kepala bersepai, kaki dicantas hingga menampakkan tulang dan bermacam lagi. Jangan pula ingat saya sukakan keganasan, saya cuma kagum dengan ketelitian pengarahnya merencana babak-babak seperti ini.

Seperti biasalah, filem aksi kekurangan rencah perasaan. Dialog amat terbatas apatah lagi adegan berkasih sayang yang sayu pilu. Paling tidak pun, adegan kepala buah hati Raizo dicantas di hadapan matanya sedikit mencarik perasaan. Namun, menerusi filem ini, saya belajar sedikit sebanyak mengenai clan, persepsi kasih keluarga di mata sifu seorang yakuza, bagaimana ninja mengatur urusan hati dan cara mereka menanggap kemanusiaan.

Kesimpulannya, filem ini menarik ditonton dan tidak menjemukan. Setiap adegan berlangsung pantas manakala fighting scenes membuat kita terpaku di kerusi. Adatlah ada cacat celanya namun saya malas ambil peduli...yang penting saya dapat tengok Rain (bunyinya macam bias kan?)... Dan, lena saya malam itu ditemani seorang yakuza...yang membawa saya lari ke hujung dunia. Yakuza berwajah Rain...hehehe

No comments: