Wednesday, December 30, 2009

New Year, New Hair



Kim Tae-Hee

Lama juga menyimpan rambut panjang, oh, semalam aku sudah tidak tahan. Berat rasa kepala, serabut dan tidak kemas. Kelmarin juga aku mengajak Fiza ke Midvalley, potong rambut. Cuba imej baru. Maklum, tahun baru menjelang lusa, orang kata New year, new you...

Tanpa berfikir panjang, aku mengarahkan si tukang gunting memotong gaya bob. Bulat dan lurus paras tengkuk. Ada sikit2 ala2 potongan Kim Tae-hee, heroin drama bersiri Korea, IRIS. Kiranya kuat sungguh pengaruh drama tu ye. Curiga juga bentuk wajah bertambah bulat tapi cuba sedapkan hati.."ala, si Tae-hee tu pun berwajah bulat. Apa nak kisah tak jadi..bukannya tak boleh panjang semula..."

Dalam berani2 takut,kupandang imej di cermin. Fuh, mujur menjadi. Lebih senang hati melihat reaksi Fiza. Macam sesuai je.

Di opis, reaksi bercampur baur...hahaha abang Azis macam biasa lambat menangkap. Dah dua tiga jam duduk di sebelahnya barulah..."awak potong rambut..". Antara reaksi yang aku recall;

Kak Hazirah: Wah, Ben imej baru..
Kak Nurul: Comel (ye ke? hehehe thanks anyway kak)
Abang Jai: Kenapa awak potong pendek, sayangnya. Lain muka awak...nampak berisilah.Abang Jai tak sukalah awak rambut pendek (motif?)
Tun: Hiss..bila plak potong ni?
Cik Mat (interframe jugak): Wah, rambut baru. Comel, tergodalah...
Angah: Ingatkan kak Temah tadi (rakan reporter di meja hiburan) tapi oklah ngan muka...

Aduh, macam2. Tapi tulah, seronok juga sesekali membuat kejutan dan perubahan. Hidup terasa ada kelainannya. Lebih segar bersemangat. Lepas ini ingat nak warnakan pula. Tengah fikir nak cuba warna apa...ungu boleh tak?

Thursday, December 24, 2009

Berbagi rezeki, berkongsi gembira. Kelak, hidup tambah makmur bahagia

Dah lama tak update entry baru. Banyak cerita sebenarnya tapi masa yang tak berapa mengizinkan. Terbaru, aku ingin berkongsi perjalanan penuh duga di Pattani, Thailand. Tapi biarlah dulu kerana lebih seronok menceritakannya di saat tenang. Fikiran lebih lapang dan susunan kisah serta bahasa lebih lancar dan cantik.

Hanya saat ini, aku bersyukur kerana mendapat apa yang dihajati sekian lama. Kerana kemurahan rezeki berkerja di sini, aku berpeluang, mungkin lebih tepat, berjaya memiliki mini lap top yang dulunya harus mengikat perut dulu andai berhajatkannya. Sekarang, bukan itu saja dalam genggaman bahkan dapat pula membeli aksesori tambahan, broadband dan sebagainya. Tidaklah lagi, aku kesunyian di rumah itu. Tidaklah lagi aku mengeluh bosan kala malam2 Astro menyiarkan cerita ulangannya tu. Dapatlah lebih giat lagi bertenet ye....

Selepas ini, aku berhasrat melengkapi rumah dengan perabot. Sekarang bukan tidak ada tapi aku rasa belum cukup selesa. Ingin kusediakan sebuah kediaman yang memenuhi cita rasa dan paling penting, adik lelakiku yang tinggal bersama rasa seronok. Tidaklah dia nanti dok bersidai di kedai kopi bersama teman-temannya.

Oh, banyak sungguh yang ingin dilakukan. Banyak sungguh yang masih dalam perancangan. Baru kini hidup rasa lebih bererti dan bermakna. Selain ingin menyenangkan keluarga, ada jugalah imbuhan untuk diri sendiri. Doaku, moga Allah memberkati dan terus melimpahkan rezekiNYA kepada ku dan mereka yang patut menerimanya. Dan, ingatlah di kala senang, rezeki bukan untuk tembolok sendiri tetapi sebaiknya dinikmati, dikongsi dan dihirup manisannya bersama makhluk Allah yang lain.

Jangan terlalu berkira dalam hidup. Jangan terlalu bertuhankan duit. Jangan lupa menghargai dan mengenang kesusahan kala kesenangan membelit diri. Rezeki lebih berkat andai dibahagikan. Jangan tamak, kerana orang tamak selalu rugi. Jangan bakhil, itu sifat orang jahil. Dan, yang penting jangan menindas orang lain demi mengumpul harta peribadi. Sebelum terlanjur jauh, fikir akhirat kelak kerana semua yang dilakukan bakal dihitung dan dihisab.

Akhir sekali, saya doakan, rezeki yang diperolehi berkat dan mendapat syafaat di hari perhitungan kelak. Amin.

Aku: Sedih dengan nasib anak2 yatim di Pattani, Thailand. Sangat daif dan merentap kalbu. Nanti, bila senang akan kutulis kesulitan mereka. Moga hati semua kita terbuka untuk meringankan beban mereka. Saya doakan yang baik2 saja untuk anak2 berwajah bersih itu. Yang tidak bernasib baik namun tidak pernah meragui takdir dan sepak terajang hidup.

Saturday, December 12, 2009

Minat yang telah lama ditinggalkan

Malam Puisi Riong berlangsung semalam namun aku tetap ingin mengabadikan kenangan ini. Maklum, malam itu menyaksikan aku mendeklamasi puisi 'Di Bawah Langit Yang Sama' - Lee Swee Tim kembali setelah meninggalkannya sewaktu berusia 12 tahun. Ketika itu, akulah Juara Deklamasi Puisi sekolah, kemudian berpeluang berpuisi sekali lagi sewaktu Majlis Ucapan dan Penyampaian Hadiah. Tajuknya aku tidak ingat tapi yang kukenang saat ini ialah 'mendendangkan' puisi diiringi petikan gitar guru muzikku, Cikgu Mazlan.

Wah, seronok sungguh kenangan hari itu. Masih kuingat pakaianku ketika itu, berkait songket, berkurung kedah. Rambut terurai mencecah pinggul dan solekan nipis mak usuku, Norlehan Alang. "Macam pengantin Bennie..."puji Cikgu Mazlan yang saban petang mengajakku berlatih di sekolah.

Itu kenangan dulu. Semalam, aku bertuah berpuisi bersama nama-nama besar dan barisan selebriti. Ada Khalid Salleh, penyanyi Hattan dan Jaclyn Victor, bos ku, Mior Kamarul Shahid, Encik Tiger dan ramai lagi. Aku rasa kecil dan kerdil sangat. Apatah lagi, aky tidak langsung punya masa untuk persiapannya. Yang aku tahu, naik ke pentas, mendeklamasikan puisi pilihan dari hati dan selesailah siksaku hari itu. Dan, syukur, aku tidak merosakkan majlis. Rupanya aku masih suka dan minat berpuisi. Rupanya secebis jiwa seniku masih ada.

Keluar dewan, abang Anwar dan Anand mengusik dan menggiat, ingin menyerapkan aku dalam aktiviti teater. Satu lagi aktiviti yang telah kutinggalkan sejak keluar kampus. Dulu, ada juga mengambil opsyen seni lakon bersama Dr Samad (dia ni pelakon jugak tetapi drama/ filem/iklan lakonannya bukan calang-calang tetapi plot cerita harus bagus dan dialognya perlu lancar, bernas dan menyentuh rasa). Di bawah bimbingannya, kami belajar menghayati dan menyelami watak. Membawa karektor dekat dengan jiwa. Pun, selepas tamat universiti, bidang itu kutinggalkan. Tapi, minat tetap ada cuma sekarang ini kerana kesibukan, jarang berpeluang menonton teater.
Apapun, aku ingin mengembalikan minat dan hobi ini. Tapi, terfikir juga, terlewatkah aku untuk memulakan? Dalam hati mengatakan ya tapi esok lusa siapa tahu. Apapun, doakan yang terbaik aje ye....

Tuesday, December 8, 2009

Ninja Assassin


ayooo sangat seksi ler..


Setelah sekian lama menunggu, akhirnya dapat juga saya menatap hero pujaan saya di layar lebar. Siapa lagi kalau bukan RAIN lewat filem terbarunya, Ninja Assassin. Hahahaha parah benar saya ni kan? Tapi Rain punya pasal, saya rela berkorban masa dan wang. Hatta, ditakdirkan dia memegang watak beruang kutub dalam animasi pun, saya sanggup luangkan masa menonton.

Rasanya, agak lama juga si Rain ini tidak muncul di mana-mana filem atau drama bersiri. Tup-tup memanjang langkah ke industri perfileman Hollywood, berlakon di bawah penerbit yang turut menghasilkan The Matrix Trilogy. Setelah sekian lama tidak muncul, nampak sangat dia sudah dewasa baik dari segi penampilan, penghayatan watak mahupun raut wajah.

Hilang sudah rambutnya yang separuh ikal itu berganti dengan rambut lurus separas bahu yang saya kira mmmm sangat seksi. Belum lagi dilihat dari susuk tubuhnya. Kalau tak, takkan lah sepupu saya si Aida sebelah menjerit "Wow!" setiap kali melihatnya.

Mengenai Ninja Assassin (NA), saya kira baik plot, dialog mahupun babak pertarungan sama saja dengan genre filem aksi lainnya. Sarat adegan ngeri mendebarkan, meriah aksi pertarungan dan percikan darahnya jarang tidak memualkan. Namun, kelainan NA melalui pergolakan dalaman jiwa seorang yakuza (ninja dilatih sebagai pembunuh upahan) yang menentang keganasan dan pertumpahan darah. Tidak sebagaimana lazimnya, yakuza kurang perasaan, yakuza yang ini nalurinya sarat kasih sayang dan dihantui nostalgia cinta silamnya.

Saya kagum dengan kesan khas badan terputus dua, kepala bersepai, kaki dicantas hingga menampakkan tulang dan bermacam lagi. Jangan pula ingat saya sukakan keganasan, saya cuma kagum dengan ketelitian pengarahnya merencana babak-babak seperti ini.

Seperti biasalah, filem aksi kekurangan rencah perasaan. Dialog amat terbatas apatah lagi adegan berkasih sayang yang sayu pilu. Paling tidak pun, adegan kepala buah hati Raizo dicantas di hadapan matanya sedikit mencarik perasaan. Namun, menerusi filem ini, saya belajar sedikit sebanyak mengenai clan, persepsi kasih keluarga di mata sifu seorang yakuza, bagaimana ninja mengatur urusan hati dan cara mereka menanggap kemanusiaan.

Kesimpulannya, filem ini menarik ditonton dan tidak menjemukan. Setiap adegan berlangsung pantas manakala fighting scenes membuat kita terpaku di kerusi. Adatlah ada cacat celanya namun saya malas ambil peduli...yang penting saya dapat tengok Rain (bunyinya macam bias kan?)... Dan, lena saya malam itu ditemani seorang yakuza...yang membawa saya lari ke hujung dunia. Yakuza berwajah Rain...hehehe

Saturday, December 5, 2009

Aku buntu

Sabtu yang permai, namun kereta buat hal, maka aku jadi baghal. Sampai ke assignment, dibedalnya seminar sarat teknikal haru-biru, bikin aku keliru dan celaru. Maru, maru...sedang orang berpencak bicara, aku ditempat kaku beku, bersimpang siur wajah lucu Hagemaru...haru- haru!!!!

Si penceramah ku lihat kecil besar, kecil besar, sesekali gelap menyelubungi. Dah sah2 aku terlelap entah berapa kali. Hendak menguap dan mengeliat tak sampai hati, sebab semua orang mendengar dengan teliti. Jarum peniti jatuh, gegarnya mungkin seperti Semenanjung Gaza dibom Yahudi laknatullah.

Tidak mahu berdiam, minda ligat merencana kepala, punca dan hujung cerita, apa yang nak kutulis? Namun, semakin memaksa mendengar semakin garu kepala. Nak kata dia berbahasa Jerman tidak juga, Azerbaijan jauh sekali. Nampaknya, aku terus dilanda keliru.

Seusai majlis ada pula pc (press conference). Campur tolak, bahagi darab, wartawan cuma empat orang. Muka masing2 macam tahu buat aku makin lesu dan tersisih. Dua tiga kali bertanya, nampak le sedikit isi cerita. Namun, sewaktu menuju ke meja makan, masing2 seolah2 tidak sabar ingin pulang. "Hi..." sapa wartawan Utusan. "Hi.." sapaku kembali. Dia senyum2 sumbing. Kujeling buku notanya, tulisan cakar ayam cuma empat baris. Aku senyum sendiri.

"Mahu fokus apa?" sedang berfikir2, wartawan NST merungut. "I tak faham langsung apa dia cakap..." Huh! Ada juga spesis.." I know nothing," balasku. "Ya la...he dont even know how to answer correctly and perfectly,"dia semakin galak menyambung sembang.

Wartawan Utusan mengangguk dan seorang dari akhbar cina makin laju menyuap nasi berkuah kari. Sah2 dia lagi malas nak ambik pot.

Akhirnya masing2 membawa haluan. Angkat kaki menuju destinasi. Jalan pun terawang2 memikirkan apa perlu dibuat, mana perlu dimula. Sungguh aku buntu, sehingga aku menulis blog ini pun, aku masih berfikir dan terus berfikir...oh! Im dead today...Rest In Peace!

apa aku nak tulis ni? Penin..penin...



ini le yang aku bayangkan masa seminar tu :)

Friday, December 4, 2009

Lima hari di Bandung, Indonesia

28 November hingga 2 Disember, aku berpeluang mengikuti rombongan Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi NSTB/ BHSB/ HMSB ke Bandung, Indonesia. Kelab menganjurkan kerja amal ibadah korban di sana. Dua hari acara korban dan melawat serta memberi sumbangan ke panti asuhan (Rumah Anak2 Yatim) selebihnya free and easy...mmmm apa lagi bershopping mopping ler..

Mengikut cerita dan perbualan dari mulut ke mulut, kota ini dikatakan syurga beli-belah orang kita. Maklum di sini, kita berpeluang menjadi orang kaya. Bawa ratus jadi juta, bawa juta jadi billion. Kalau tak, tak adalah aku terserempak Rizalman mencari manik untuk busananya di sana.

Sejujurnya, kalau hendak mencari panorama yang indah2, muluk2, bukan di sana tempatnya. Lebih baik bertunggu tangga di Tanah Bali. Tetapi bab shopping mopping ya ampun, waima Tanah Abang, Jakarta dan pekan Medan tidak terlawan dengan pilihan barang dan harganya yang teramat murah. Bayangkan saja, setiap pelusuk tempat berceratuk factory outlet; Cibadyut dan Garut meriah dengan barangan kulit asli dengan harga yang tersangat menguntungkan. Fikir2 balik macam beli t-shirt PDI di sini tetapi kualitinya setanding dengan produk Louis Vuitton. Jalan Riau beratur bangunan factory outlet menjual barangan berjenama. Rasanya di tempat lain belum ada lagi branded item seperti Guess, Armani, DKNY dan sebagainya dijual serendah harga RM14. Begitu juga dengan jeans berjenama yang kebanyakan harga jarang melebihi RM100.

Oh! Jangan lah cuba-cuba menjejak kaki ke Pasar Baru kalau duit di tas beribu. Bukan kerana bimbang tidak mampu membeli. Bimbang duit di tas lesap di angin lalu. Mengalir bagai air. Sehelai telekung sarat corak misalnya, kalau di sini harganya kalau tidak RM200 jangan sentuh tetapi di sana setelah tawar-menawar, harga pasnya (harga akhir) cuma RM25. Belum lagi dikira cadar kartun setaraf Aussino. Sempat saya menyambar cadar barbie Mariposa dengan harga Malaysia hanya RM28. Kalau di Aussino harganya mahu hampir RM300. Setelah saya belek, kualiti kain, warna dan gambarnya memang seperti yang dijual di Aussino. Jangan lah ditanya mengenai pilihan blouse, beg tangan, seluar panjang dan sebagainya. Sudahlah bermacam pilihan, harganya pun macam main pondok2 saja. Itu yang jadi kisah pulang dengan tiga beg besar walhal ke sana cuma membawa sebuah beg beroda.

Makan senang tapi awas, jangan cuba2 membeli kudap2an di tepi jalan kalau perut kamu jenis manja. Saya terkena jugalah..gara2 teringinkan goreng pisang, merana sehari. Malamnya, siap menggigil dan meracau2...hahaha jadi tangkal bagi saya di lain kali.

Lagi apa ye...oh ye, bagi ibu2 pilihan barangan untuk anak-anak ya ampun banyaknya...kalau minat Ben10, dari seluar dalam, beg, t-shirt semua boleh dibeli. Begitu juga yang menggilai Barbie. Terkejut saya melihat anak patung jenama itu berukuran separas pinggang yang dijual di toko-toko mainan. Kawan saya membeli baju barbie untuk anaknya tidak sampai RM10.

Sememangnya, saya gila dan rambang mata. Cuma saya terkilan cuma membawa seribu lebih, kalau tak mahu satu Bandung saya angkut pulang hahaha...ibarat kata teman seshopping (ada ke ayat ni) saya..."Lain kali pegi, akak nak bawak 10 juta rupiah..baru boleh beli macam2."

Cuma satu saya pesan, belajar tawar-menawar dulu. Sebaiknya minta dia turunkan separuh dari harga asal, setelah berhempas pulas berunding, saya jamin anda mesti menjijit beg shopping dengan senyum sampai ke telinga.

Namun, bagi yang selesa membeli harga tetap, singgah saja ke Rumah Mode. Di sana, anda akan temui produk, pakaian, toys dan macam2 yang bercita rasa ekslusif dengan harga yang amat berbaloi..

Mmmm..tiba2 saya bersyukur sangat jadi orang Malaysia kerana di sana mampu menjadi orang kaya. Tiba2 saya seolah melupakan bahawa tempatnya sesak dan padat, sarat aliran trafik, tiba2 saya melupakan sekejap korupsinya, kebersihannya, keamanannya. Ahhh..peduli apa asalkan beg saya penuh dan padat. Sesungguhnya lima hari (3 hari sebenarnya acara shopping dari pagi membawa ke malam) itu saya bagai di syurga..syurga beli-belah :)

p/s: nanti ada masa, saya masukkan gambar2nya ye...kerana terlampau asyik masyhuk shopping buat pertama kalinya saya tidak teruja langsung untuk bergambar. Buktinya, gambar saya cuma ada beberapa keping aje..ini sesuatu yang harus saya fikirkan hehehe