Semalam, Muammar Gaddafi, bekas pemimpim Libya mati ditembak oleh pemberontak, di bandar kelahirannya Sirte. Setelah 41 tahun memerintah dan lapan bulan diburu pejuang revolusi, Gaddafi tewas ditembak di kepala.
Aduh, berapa banyak kematian harus disaksikan pada tahun ini. Rasanya sejak bergelar reporter akhbar ini, kerap sangat dihujani dengan berita kematian. Pantang selak akhbar, ada saja berita kematian terpampang di depan mata. Kemalangan, lemas, dibunuh, terbunuh...aduh! Semuanya mengerikan. Kematian berpunca tragedi lebih takut dan menyesakkan. Setakat membaca di akhbar boleh tahan lagi tetapi jika menyaksikan sendiri di hadapan mata apatah lagi perlu membuat liputan, dalam cuak terpaksa juga menjalankan tanggungjawab sehingga ke titik akhir.
Minggu lepas, dikejutkan dengan kematian seorang rakan sepejabat. Orangnya masih muda dan ada segala. Belum pun berumahtangga tetapi kalau ajal sudah menjemput, sesaat tidak tertangguh. Sempat juga mengunjungi buat kali terakhir, sebak dan insaf menatap seseorang yang dulunya ceria namun kini menjadi jenazah. Perkara itu membuatkan saya insaf dan akur kematian akan menjengah pada bila2 masa tapi bersediakah kita?
Namun, dalam pada itu, sedih juga kerana ada kalangan sahabat yang sudah berubah rentak hidup dan laku. Aku tidak pasti sebab dia berubah 360 darjah begitu tetapi tertanya2 dalam hati kenapa harus jalan itu yang dipilih? Yalah, kalau berubah daripada tidak baik kepada perkara baik, kita akan beri sokongan dan sekalung tahniah tetapi apahal pula mencari jalan yang boleh memudaratkan diri dan orang tersayang.
Saya bukan baik sangat namun saya sentiasa mencari jalan untuk menjadi insan yang lebih baik hari ini berbanding semalam. Saya paling takut terjerumus dengan dosa besar apatah lagi dosa itu disebabkan maksiat. Sejarah hidup saya, saya kenal pelbagai lapisan orang lebih-lebih lelaki. Pergaulan saya bebas namun saya tahu meletakkan batas. Saya bersyukur kerana menjadi insan yang tahu berfikir panjang. Saya akui sangat sosial dulu tetapi dalam pada itu Alhamdulillah, saya tidak pernah terbabas. Mungkin kerana sejak awal2 saya sudah meletakkan garis sempadan mengenai yang baik dan yang mana pula boleh merosakkan diri. Buktinya, meskipun dulu, saya pernah mengunjungi kelab malam dan suka menikmati live music di pub, tapi tertib tetap saya jaga. Namun, saya belum boleh lagi membuang perangai suka ke konsert hehehe tak apa lah, itu saja passion saya yang tinggal.
Tetapi, saya berani jamin, saya tetap menjaga tertib dan memelihara diri dari terjebak ke kancah maksiat. Itu sebab saya sedih bila ada kawan yang kukuh asas agamanya, sudah menjadi seperti orang lain. Hai, serba salah dibuatnya. Hendak ditegur, siapalah saya, sudahlah cetek pengalaman, apa hujah yang boleh saya beri untuk mengalahkannya yang lebih arif hukum-hakam.
Hanya saya berharap dan berdoa agar segalanya baik belaka. Saya akui sangat takut akan balasanNYA. Orang kata, semuanya dibayar tunai sekarang, tak payah tunggu alam kekal di sana. Kalau saya tersilap, saya minta ampun dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Maklum saya manusia, tidak lepas dari kesilapan dan cenderung membuat persepsi sendiri. Kalau apa yang saya fikir betul, saya pohon sangat2 kembalilah semula ke diri yang asal. Kerana apa? Kerana kita hidup tidak lama. Kerana kita hidup demi mencari keredhaanNYA...marilah sama2 kita doa agar tidak tersasar ye...bukan saja untuk diri sendiri tetapi buat mereka yang kita sayang. Yang mewarnai sebahagian kehidupan kita yang singkat ini. Amin.
jom layan lagu ni...aduh sayunya...