Wednesday, December 30, 2009

New Year, New Hair



Kim Tae-Hee

Lama juga menyimpan rambut panjang, oh, semalam aku sudah tidak tahan. Berat rasa kepala, serabut dan tidak kemas. Kelmarin juga aku mengajak Fiza ke Midvalley, potong rambut. Cuba imej baru. Maklum, tahun baru menjelang lusa, orang kata New year, new you...

Tanpa berfikir panjang, aku mengarahkan si tukang gunting memotong gaya bob. Bulat dan lurus paras tengkuk. Ada sikit2 ala2 potongan Kim Tae-hee, heroin drama bersiri Korea, IRIS. Kiranya kuat sungguh pengaruh drama tu ye. Curiga juga bentuk wajah bertambah bulat tapi cuba sedapkan hati.."ala, si Tae-hee tu pun berwajah bulat. Apa nak kisah tak jadi..bukannya tak boleh panjang semula..."

Dalam berani2 takut,kupandang imej di cermin. Fuh, mujur menjadi. Lebih senang hati melihat reaksi Fiza. Macam sesuai je.

Di opis, reaksi bercampur baur...hahaha abang Azis macam biasa lambat menangkap. Dah dua tiga jam duduk di sebelahnya barulah..."awak potong rambut..". Antara reaksi yang aku recall;

Kak Hazirah: Wah, Ben imej baru..
Kak Nurul: Comel (ye ke? hehehe thanks anyway kak)
Abang Jai: Kenapa awak potong pendek, sayangnya. Lain muka awak...nampak berisilah.Abang Jai tak sukalah awak rambut pendek (motif?)
Tun: Hiss..bila plak potong ni?
Cik Mat (interframe jugak): Wah, rambut baru. Comel, tergodalah...
Angah: Ingatkan kak Temah tadi (rakan reporter di meja hiburan) tapi oklah ngan muka...

Aduh, macam2. Tapi tulah, seronok juga sesekali membuat kejutan dan perubahan. Hidup terasa ada kelainannya. Lebih segar bersemangat. Lepas ini ingat nak warnakan pula. Tengah fikir nak cuba warna apa...ungu boleh tak?

Thursday, December 24, 2009

Berbagi rezeki, berkongsi gembira. Kelak, hidup tambah makmur bahagia

Dah lama tak update entry baru. Banyak cerita sebenarnya tapi masa yang tak berapa mengizinkan. Terbaru, aku ingin berkongsi perjalanan penuh duga di Pattani, Thailand. Tapi biarlah dulu kerana lebih seronok menceritakannya di saat tenang. Fikiran lebih lapang dan susunan kisah serta bahasa lebih lancar dan cantik.

Hanya saat ini, aku bersyukur kerana mendapat apa yang dihajati sekian lama. Kerana kemurahan rezeki berkerja di sini, aku berpeluang, mungkin lebih tepat, berjaya memiliki mini lap top yang dulunya harus mengikat perut dulu andai berhajatkannya. Sekarang, bukan itu saja dalam genggaman bahkan dapat pula membeli aksesori tambahan, broadband dan sebagainya. Tidaklah lagi, aku kesunyian di rumah itu. Tidaklah lagi aku mengeluh bosan kala malam2 Astro menyiarkan cerita ulangannya tu. Dapatlah lebih giat lagi bertenet ye....

Selepas ini, aku berhasrat melengkapi rumah dengan perabot. Sekarang bukan tidak ada tapi aku rasa belum cukup selesa. Ingin kusediakan sebuah kediaman yang memenuhi cita rasa dan paling penting, adik lelakiku yang tinggal bersama rasa seronok. Tidaklah dia nanti dok bersidai di kedai kopi bersama teman-temannya.

Oh, banyak sungguh yang ingin dilakukan. Banyak sungguh yang masih dalam perancangan. Baru kini hidup rasa lebih bererti dan bermakna. Selain ingin menyenangkan keluarga, ada jugalah imbuhan untuk diri sendiri. Doaku, moga Allah memberkati dan terus melimpahkan rezekiNYA kepada ku dan mereka yang patut menerimanya. Dan, ingatlah di kala senang, rezeki bukan untuk tembolok sendiri tetapi sebaiknya dinikmati, dikongsi dan dihirup manisannya bersama makhluk Allah yang lain.

Jangan terlalu berkira dalam hidup. Jangan terlalu bertuhankan duit. Jangan lupa menghargai dan mengenang kesusahan kala kesenangan membelit diri. Rezeki lebih berkat andai dibahagikan. Jangan tamak, kerana orang tamak selalu rugi. Jangan bakhil, itu sifat orang jahil. Dan, yang penting jangan menindas orang lain demi mengumpul harta peribadi. Sebelum terlanjur jauh, fikir akhirat kelak kerana semua yang dilakukan bakal dihitung dan dihisab.

Akhir sekali, saya doakan, rezeki yang diperolehi berkat dan mendapat syafaat di hari perhitungan kelak. Amin.

Aku: Sedih dengan nasib anak2 yatim di Pattani, Thailand. Sangat daif dan merentap kalbu. Nanti, bila senang akan kutulis kesulitan mereka. Moga hati semua kita terbuka untuk meringankan beban mereka. Saya doakan yang baik2 saja untuk anak2 berwajah bersih itu. Yang tidak bernasib baik namun tidak pernah meragui takdir dan sepak terajang hidup.

Saturday, December 12, 2009

Minat yang telah lama ditinggalkan

Malam Puisi Riong berlangsung semalam namun aku tetap ingin mengabadikan kenangan ini. Maklum, malam itu menyaksikan aku mendeklamasi puisi 'Di Bawah Langit Yang Sama' - Lee Swee Tim kembali setelah meninggalkannya sewaktu berusia 12 tahun. Ketika itu, akulah Juara Deklamasi Puisi sekolah, kemudian berpeluang berpuisi sekali lagi sewaktu Majlis Ucapan dan Penyampaian Hadiah. Tajuknya aku tidak ingat tapi yang kukenang saat ini ialah 'mendendangkan' puisi diiringi petikan gitar guru muzikku, Cikgu Mazlan.

Wah, seronok sungguh kenangan hari itu. Masih kuingat pakaianku ketika itu, berkait songket, berkurung kedah. Rambut terurai mencecah pinggul dan solekan nipis mak usuku, Norlehan Alang. "Macam pengantin Bennie..."puji Cikgu Mazlan yang saban petang mengajakku berlatih di sekolah.

Itu kenangan dulu. Semalam, aku bertuah berpuisi bersama nama-nama besar dan barisan selebriti. Ada Khalid Salleh, penyanyi Hattan dan Jaclyn Victor, bos ku, Mior Kamarul Shahid, Encik Tiger dan ramai lagi. Aku rasa kecil dan kerdil sangat. Apatah lagi, aky tidak langsung punya masa untuk persiapannya. Yang aku tahu, naik ke pentas, mendeklamasikan puisi pilihan dari hati dan selesailah siksaku hari itu. Dan, syukur, aku tidak merosakkan majlis. Rupanya aku masih suka dan minat berpuisi. Rupanya secebis jiwa seniku masih ada.

Keluar dewan, abang Anwar dan Anand mengusik dan menggiat, ingin menyerapkan aku dalam aktiviti teater. Satu lagi aktiviti yang telah kutinggalkan sejak keluar kampus. Dulu, ada juga mengambil opsyen seni lakon bersama Dr Samad (dia ni pelakon jugak tetapi drama/ filem/iklan lakonannya bukan calang-calang tetapi plot cerita harus bagus dan dialognya perlu lancar, bernas dan menyentuh rasa). Di bawah bimbingannya, kami belajar menghayati dan menyelami watak. Membawa karektor dekat dengan jiwa. Pun, selepas tamat universiti, bidang itu kutinggalkan. Tapi, minat tetap ada cuma sekarang ini kerana kesibukan, jarang berpeluang menonton teater.
Apapun, aku ingin mengembalikan minat dan hobi ini. Tapi, terfikir juga, terlewatkah aku untuk memulakan? Dalam hati mengatakan ya tapi esok lusa siapa tahu. Apapun, doakan yang terbaik aje ye....

Tuesday, December 8, 2009

Ninja Assassin


ayooo sangat seksi ler..


Setelah sekian lama menunggu, akhirnya dapat juga saya menatap hero pujaan saya di layar lebar. Siapa lagi kalau bukan RAIN lewat filem terbarunya, Ninja Assassin. Hahahaha parah benar saya ni kan? Tapi Rain punya pasal, saya rela berkorban masa dan wang. Hatta, ditakdirkan dia memegang watak beruang kutub dalam animasi pun, saya sanggup luangkan masa menonton.

Rasanya, agak lama juga si Rain ini tidak muncul di mana-mana filem atau drama bersiri. Tup-tup memanjang langkah ke industri perfileman Hollywood, berlakon di bawah penerbit yang turut menghasilkan The Matrix Trilogy. Setelah sekian lama tidak muncul, nampak sangat dia sudah dewasa baik dari segi penampilan, penghayatan watak mahupun raut wajah.

Hilang sudah rambutnya yang separuh ikal itu berganti dengan rambut lurus separas bahu yang saya kira mmmm sangat seksi. Belum lagi dilihat dari susuk tubuhnya. Kalau tak, takkan lah sepupu saya si Aida sebelah menjerit "Wow!" setiap kali melihatnya.

Mengenai Ninja Assassin (NA), saya kira baik plot, dialog mahupun babak pertarungan sama saja dengan genre filem aksi lainnya. Sarat adegan ngeri mendebarkan, meriah aksi pertarungan dan percikan darahnya jarang tidak memualkan. Namun, kelainan NA melalui pergolakan dalaman jiwa seorang yakuza (ninja dilatih sebagai pembunuh upahan) yang menentang keganasan dan pertumpahan darah. Tidak sebagaimana lazimnya, yakuza kurang perasaan, yakuza yang ini nalurinya sarat kasih sayang dan dihantui nostalgia cinta silamnya.

Saya kagum dengan kesan khas badan terputus dua, kepala bersepai, kaki dicantas hingga menampakkan tulang dan bermacam lagi. Jangan pula ingat saya sukakan keganasan, saya cuma kagum dengan ketelitian pengarahnya merencana babak-babak seperti ini.

Seperti biasalah, filem aksi kekurangan rencah perasaan. Dialog amat terbatas apatah lagi adegan berkasih sayang yang sayu pilu. Paling tidak pun, adegan kepala buah hati Raizo dicantas di hadapan matanya sedikit mencarik perasaan. Namun, menerusi filem ini, saya belajar sedikit sebanyak mengenai clan, persepsi kasih keluarga di mata sifu seorang yakuza, bagaimana ninja mengatur urusan hati dan cara mereka menanggap kemanusiaan.

Kesimpulannya, filem ini menarik ditonton dan tidak menjemukan. Setiap adegan berlangsung pantas manakala fighting scenes membuat kita terpaku di kerusi. Adatlah ada cacat celanya namun saya malas ambil peduli...yang penting saya dapat tengok Rain (bunyinya macam bias kan?)... Dan, lena saya malam itu ditemani seorang yakuza...yang membawa saya lari ke hujung dunia. Yakuza berwajah Rain...hehehe

Saturday, December 5, 2009

Aku buntu

Sabtu yang permai, namun kereta buat hal, maka aku jadi baghal. Sampai ke assignment, dibedalnya seminar sarat teknikal haru-biru, bikin aku keliru dan celaru. Maru, maru...sedang orang berpencak bicara, aku ditempat kaku beku, bersimpang siur wajah lucu Hagemaru...haru- haru!!!!

Si penceramah ku lihat kecil besar, kecil besar, sesekali gelap menyelubungi. Dah sah2 aku terlelap entah berapa kali. Hendak menguap dan mengeliat tak sampai hati, sebab semua orang mendengar dengan teliti. Jarum peniti jatuh, gegarnya mungkin seperti Semenanjung Gaza dibom Yahudi laknatullah.

Tidak mahu berdiam, minda ligat merencana kepala, punca dan hujung cerita, apa yang nak kutulis? Namun, semakin memaksa mendengar semakin garu kepala. Nak kata dia berbahasa Jerman tidak juga, Azerbaijan jauh sekali. Nampaknya, aku terus dilanda keliru.

Seusai majlis ada pula pc (press conference). Campur tolak, bahagi darab, wartawan cuma empat orang. Muka masing2 macam tahu buat aku makin lesu dan tersisih. Dua tiga kali bertanya, nampak le sedikit isi cerita. Namun, sewaktu menuju ke meja makan, masing2 seolah2 tidak sabar ingin pulang. "Hi..." sapa wartawan Utusan. "Hi.." sapaku kembali. Dia senyum2 sumbing. Kujeling buku notanya, tulisan cakar ayam cuma empat baris. Aku senyum sendiri.

"Mahu fokus apa?" sedang berfikir2, wartawan NST merungut. "I tak faham langsung apa dia cakap..." Huh! Ada juga spesis.." I know nothing," balasku. "Ya la...he dont even know how to answer correctly and perfectly,"dia semakin galak menyambung sembang.

Wartawan Utusan mengangguk dan seorang dari akhbar cina makin laju menyuap nasi berkuah kari. Sah2 dia lagi malas nak ambik pot.

Akhirnya masing2 membawa haluan. Angkat kaki menuju destinasi. Jalan pun terawang2 memikirkan apa perlu dibuat, mana perlu dimula. Sungguh aku buntu, sehingga aku menulis blog ini pun, aku masih berfikir dan terus berfikir...oh! Im dead today...Rest In Peace!

apa aku nak tulis ni? Penin..penin...



ini le yang aku bayangkan masa seminar tu :)

Friday, December 4, 2009

Lima hari di Bandung, Indonesia

28 November hingga 2 Disember, aku berpeluang mengikuti rombongan Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi NSTB/ BHSB/ HMSB ke Bandung, Indonesia. Kelab menganjurkan kerja amal ibadah korban di sana. Dua hari acara korban dan melawat serta memberi sumbangan ke panti asuhan (Rumah Anak2 Yatim) selebihnya free and easy...mmmm apa lagi bershopping mopping ler..

Mengikut cerita dan perbualan dari mulut ke mulut, kota ini dikatakan syurga beli-belah orang kita. Maklum di sini, kita berpeluang menjadi orang kaya. Bawa ratus jadi juta, bawa juta jadi billion. Kalau tak, tak adalah aku terserempak Rizalman mencari manik untuk busananya di sana.

Sejujurnya, kalau hendak mencari panorama yang indah2, muluk2, bukan di sana tempatnya. Lebih baik bertunggu tangga di Tanah Bali. Tetapi bab shopping mopping ya ampun, waima Tanah Abang, Jakarta dan pekan Medan tidak terlawan dengan pilihan barang dan harganya yang teramat murah. Bayangkan saja, setiap pelusuk tempat berceratuk factory outlet; Cibadyut dan Garut meriah dengan barangan kulit asli dengan harga yang tersangat menguntungkan. Fikir2 balik macam beli t-shirt PDI di sini tetapi kualitinya setanding dengan produk Louis Vuitton. Jalan Riau beratur bangunan factory outlet menjual barangan berjenama. Rasanya di tempat lain belum ada lagi branded item seperti Guess, Armani, DKNY dan sebagainya dijual serendah harga RM14. Begitu juga dengan jeans berjenama yang kebanyakan harga jarang melebihi RM100.

Oh! Jangan lah cuba-cuba menjejak kaki ke Pasar Baru kalau duit di tas beribu. Bukan kerana bimbang tidak mampu membeli. Bimbang duit di tas lesap di angin lalu. Mengalir bagai air. Sehelai telekung sarat corak misalnya, kalau di sini harganya kalau tidak RM200 jangan sentuh tetapi di sana setelah tawar-menawar, harga pasnya (harga akhir) cuma RM25. Belum lagi dikira cadar kartun setaraf Aussino. Sempat saya menyambar cadar barbie Mariposa dengan harga Malaysia hanya RM28. Kalau di Aussino harganya mahu hampir RM300. Setelah saya belek, kualiti kain, warna dan gambarnya memang seperti yang dijual di Aussino. Jangan lah ditanya mengenai pilihan blouse, beg tangan, seluar panjang dan sebagainya. Sudahlah bermacam pilihan, harganya pun macam main pondok2 saja. Itu yang jadi kisah pulang dengan tiga beg besar walhal ke sana cuma membawa sebuah beg beroda.

Makan senang tapi awas, jangan cuba2 membeli kudap2an di tepi jalan kalau perut kamu jenis manja. Saya terkena jugalah..gara2 teringinkan goreng pisang, merana sehari. Malamnya, siap menggigil dan meracau2...hahaha jadi tangkal bagi saya di lain kali.

Lagi apa ye...oh ye, bagi ibu2 pilihan barangan untuk anak-anak ya ampun banyaknya...kalau minat Ben10, dari seluar dalam, beg, t-shirt semua boleh dibeli. Begitu juga yang menggilai Barbie. Terkejut saya melihat anak patung jenama itu berukuran separas pinggang yang dijual di toko-toko mainan. Kawan saya membeli baju barbie untuk anaknya tidak sampai RM10.

Sememangnya, saya gila dan rambang mata. Cuma saya terkilan cuma membawa seribu lebih, kalau tak mahu satu Bandung saya angkut pulang hahaha...ibarat kata teman seshopping (ada ke ayat ni) saya..."Lain kali pegi, akak nak bawak 10 juta rupiah..baru boleh beli macam2."

Cuma satu saya pesan, belajar tawar-menawar dulu. Sebaiknya minta dia turunkan separuh dari harga asal, setelah berhempas pulas berunding, saya jamin anda mesti menjijit beg shopping dengan senyum sampai ke telinga.

Namun, bagi yang selesa membeli harga tetap, singgah saja ke Rumah Mode. Di sana, anda akan temui produk, pakaian, toys dan macam2 yang bercita rasa ekslusif dengan harga yang amat berbaloi..

Mmmm..tiba2 saya bersyukur sangat jadi orang Malaysia kerana di sana mampu menjadi orang kaya. Tiba2 saya seolah melupakan bahawa tempatnya sesak dan padat, sarat aliran trafik, tiba2 saya melupakan sekejap korupsinya, kebersihannya, keamanannya. Ahhh..peduli apa asalkan beg saya penuh dan padat. Sesungguhnya lima hari (3 hari sebenarnya acara shopping dari pagi membawa ke malam) itu saya bagai di syurga..syurga beli-belah :)

p/s: nanti ada masa, saya masukkan gambar2nya ye...kerana terlampau asyik masyhuk shopping buat pertama kalinya saya tidak teruja langsung untuk bergambar. Buktinya, gambar saya cuma ada beberapa keping aje..ini sesuatu yang harus saya fikirkan hehehe

Tuesday, November 24, 2009

Menunggu Cinta Tuhan


Semalam, saya berjaya mengkhatamkan 'Menunggu Cinta Tuhan' karya, kawan, kakak dan saya anggap idola, Lily Haslina Nasir. Lain benar sentuhan kak Lily kali ini, maklum sebelum ini dikenali dengan novel kreatif, sastera dan komersial. Untuk yang ini, genre pilihan kak Lily nampaknya lari dari kebiasaan.

Sekalung tahniah saya ucapkan kerana Kak Lily berjaya meneroka satu lagi cabang penulisan dengan baik. Berjaya membuatkan saya menghadamnya sehingga ke nokhtah terakhir. Menyusurinya, saya dapati dan makin berpegang kuat bahawa hiburan dan agama tak pernah sekufu, tak pernah selari jauh sekali berjabat tangan menghulur persahabatan.

Secara jujurnya dan mengikut pengalaman kerja yang tak seberapa, dengan rendah dirinya saya terpaksa mengaku bahawa saya sepemikiran dengan Azrul Rasyid (watak heronya). Maaflah, mungkin saya tipikal journalist tapi sememangnya pembaca di Malaysia terutama yang terlalu meminati pojok hiburan tidak akan dapat menerima pembaharuan yang dibawa Khalida Atikah. Saya bercakap berdasarkan realiti. Dan, kalau saya jadi Azrul agaknya amuk saya lebih lagi. Bukan setakat membaling kertas ke muka, saya rasa ingin mendenda dia duduk diam2 bawah meja (hahaha...dun worry, saya tak sekejam itu).

Saya tertanya juga, kenapa Khalida tidak mahu mengukur baju di badan sendiri. Kalau sudah tahu, bidang itu tidak sesuai dengan jiwa, kenapa membenarkan diri terjebak. Peliknya, saya mahasiswa usuluddin hendak menceburkan diri dalam bidang yang kami2 di sini pun kalau boleh nak elakkan. Dan, kalau sudah tahu risiko yang bakal dihadapi, kenapa harus berumah di tepi pantai. Bukankah kerja amanah? Kalau bos menyuruh dan siap dengan alasannya, kenapa tidak dituruti mengikut akal munasabah?

Apabila Azrul menengking dan menghamun Khalida, entah kenapa saya turut bersorak gembira. Dan, saya kesian juga kepada si minah ini yang pakaiannya gedoboh sentiasa serta muka polos solekan. Kenapa begitu? Bukankah ada alternatif lain menutup aurat, kenapa tidak memakai seluar slack dan blouse lengan panjang. Atau paling tidak, salut tubuh dengan kot. Kami sebagai wartawan akhbar Perdana memang tidak digalakkan berpakaian terlalu menggiurkan pun tapi paling tidak diwajibkan kemas, rapi, presentable dan sedap dipandang. Dan, kalau berbaju kurung pun, masih banyak lagi potongan yang boleh diteroka, baju kurung kedah, mini kurung, leher cekak musang, kurung moden, kurung pahang dan sebagainya. Berbaju kurung bukan bermakna lekeh tetapi kalau kena penggayaannya, boleh dibawa ke majlis rasmi. Dengan syarat bersolek lah sikit, bukan seharusnya berdandan smokey eyes segala tetapi memadai sekadar solekan nipis menghindar polos dan pucat. Cukup sekadar menaikkan seri muka. Tidaklah nanti Pak Menteri dan selebriti memandang sebelah mata dan menjawab pun hendak tak hendak. Bukan untuk memikat ye tetapi menyenangkan kerja. Itu saja nawaitunya.

Penulisan berita dan majalah juga berbeza2. Demikian penulisan pojok hiburan untuk akhbar perdana yang sangat berlainan dengan akhbar nyamuk. Namun, tidak seperti penulisan rencana yang bertunjangkan pengalaman sendiri, penulisan untuk akhbar harus tepat, ringkas dan padat. Pendekata, isinya tidak harus bersifat tarbiah dan bersyarah tetapi memberitahu. Dalam hal ini, kalau saya jadi Azrul pun, saya hangin satu badan membaca ruangan Teluk Bergendangnya. Bukan apa, dalam sekian banyak para, hanya separa saja yang  boleh terlalu pakai. Lagi satu, gossip sebenarnya tidak bersifat terlalu umum tetapi bertujuan memberitahu secara tidak langsung. Justeru, ada fakta dan bersifat sahih, jika mereka2 saja, alamat menunggu surat saman la...Untuk majalah, penulisannya mungkin bebas dan bersifat naratif namun untuk akhbar yang sangat minimun dan mahal kolumnya, menulis harus telus dan terus ke pucuk pangkal.

Tapi, Kak Lily, memanglah...dari segi olahan kata dan susunan ayat, dia memang nombor satu. Bukan calang-calang orang dapat menanding. Membaca dia menggambarkan keadaan cuaca pun, saya sudah boleh melayang ke langit ketujuh. Ini memang kekuatan Kak Lily. Dan, apabila dia menulis mengenai kemarahan Azrul yang berapi2 itu, emosi itu terus menyeludup masuk dalam diri saya. Begitu juga, sewaktu dia berkisah mengenai kebebalan Khalida, saya turut menyumpah sama , "Hisss, apa lah bangang sangat minah ni..." Saya jadi hilang sabar. Bagai saya pula di tempat Azrul Rasyid.

Ketika Kak Lily memperihalkan mengenai sihir, saya jadi seram dan gerun. Jampi serapah dilagukan bagaikan benar-benar hidup alam nyata. Saya jadi ngeri membayangkan mangsa teraniaya muntah darah, perut membusung dan sebagainya. Kak Lily memang pintar menyentuh emosi dan menambah penghayatan pembacanya.

Saya harap Kak Lily terus menulis novel2 islamik. Percubaan pertama ini sudah cukup baik, cuma tambah lagi rencahnya di masa hadapan. Dan, saya akui sebagai peminat nombor satu novel2nya, saya memang sentiasa ternanti2kan sentuhan terbaru Kak Lily. Semoga terus menyentuh hati saya ye. Syabas sis!